Esok, kita akan memasuki 1 Dzulhijjah. InshaAllah.
Dan dari negara
umat Islam di seluruh dunia, kini berbondong-bondong jemaah Haji berlepas ke
tanah suci. Musim haji seakan episod penyatuan ummat Islam, tanpa mengira asal
bangsa dan keturunan, serta pangkat dan kedudukan.
Kita mungkin sedari bulan Ramadhan sebagai
bulan pesta ibadah, namun sewajarnya juga, perlu untuk kita tahu tentang bulan
Dzulhijjah dan keutamaan pada 10 hari di awalnya.
Di dalam Al-Quran, surah Al-Fajr ayat 1-2, Allah swt telah
bersumpah dengan malam-malam sepuluh terawal dalam bulan ini.
Saya ingin memetik sepotong hadith dari Ibnu Abbas r.a,
diriwayatkan oleh Imam Bukhari rahimahullah dalam sahihnya, yang bermaksud:
'Tidak ada amal yang lebih di cintai Allah dari hari ini,
(yaitu 10 hari bulan Dzulhijjah)'. Mereka bertanya, 'Ya Rasulullah,
tidak juga jihad fi sabilillah?'. Baginda menjawab : 'Tidak juga jihad
fi sabilillah, kecuali orang yang keluar (berjihad) dengan jiwa dan hartanya,
kemudian tidak kembali dengan sesuatu apapun'.
Sebuah hadith daripada Umar r.a, diriwayatkan oleh Imam Ahmad
rahimahullah, yang bermaksud:
'Tidak ada hari yang paling agung dan amat di cintai Allah untuk
berbuat kebajikan di dalamnya, daripada 10 hari (Dzulhijjah) ini. Maka
perbanyakkanlah pada saat itu tahlil, takbir dan tahmid.'
Hari-hari terawal di bulan Dzulhijjah ini adalah hari-hari yang
cukup istimewa. Padanya adalah waktu-waktu emas bagi jemaah Haji dalam proses
ibadah mereka.
Sedangkan kita hanya lebih cenderung untuk merayakan Eidul Adha
pada 10 Dzulhijjah dan terlepas pandang tentang keutamaan hari-hari sebelumnya,
yakni bermula 1 hingga 9 Dzulhijjah.
Dalil yang disertakan disini sudah cukup rajih untuk membuktikan
keutamaan hari-hari tersebut.
Kita dianjurkan untuk meningkatkan amal ibadah dan berpuasa pada
hari-hari ini.
Dan tiada sangsi lagi, puasa adalah amalan yang paling utama dan
dipilih oleh Allah untuk diriNya. Disebutkan dalam hadith Qudsi, yang
bermaksud:
'Puasa ini adalah untuk-Ku, dan Akulah yang akan membalasnya.
Sungguh dia telah meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata
kerana Aku'
Kemuncak kepada hari-hari di awal bulan Dzulhijjah ini adalah
hari Arafah, yakni ke-9 Dzulhijjah.
Sebuah hadith daripada Abu Qatadah yang diriwayatkan oleh Imam
Muslim yang bermaksud:
'Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharapkan pahala dari Allah
akan meleburkan dosa-dosanya setahun sebelum dan sesudahnya'
Berpuasa pada hari Arafah ini dianjurkan kepada mereka yang
tidak mengerjakan haji, sedangkan mereka yang sedang mengerjakannya di tegah
daripada berpuasa pada hari Arafah. Kenyataan ini berdalilkan hadith daripada
Abu Hurairah r.a, diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, Imam Ahmad dan Ibnu Majah,
yang bermaksud:
'Sesungguhnya Nabi s.a.w menegah dari berpuasa pada hari Arafah
bagi jemaah haji yang berada di Arafah'
Ayuh kalian, kita kutip peluang keemasan di hari-hari 10 terawal
bulan Dzulhijjah ini dengan semaksima mungkin.
Sekiranya kita hanya suka meraikan hari-hari Tahun Baru dan
pesta-pesta perayaan yang lain, apa salahnya untuk kita pungut mutiara-mutiara
yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya demi sebuah nikmat yang lebih besar
dari keseronokan dunia.
Kembali kepada fitrah. Leburkan jahiliyyah dengan syahadahmu!
0 komentar:
Post a Comment