Liqa' Ziarah

11 November 2012 0 komentar
Jumaat petang yang lepas. Mendongak ke langit, tampak awan yang sugul menanti curahan airnya membasah bumi cinta.

Jam baru sahaja menunjukkan jam 3 petang. Saya rasakan hujan ini tidak akan sekejap. Melihat awan di sekitarnya, seluruh pandangan yang gelap seputaran kepala dan mata yang melihat.

Malam ini, malam yang saya nantikan. Liqa kami buat kesekian kalinya. 

Memang pertemuan kami berjalan setiap minggu. Mungkin kali ini lain sedikit caranya - ziarah.


Awan gelap menuju ke Selat

Pertemuan kami malam itu telah Allah permudahkan urusannya. Biarpun di uji dengan keadaan hujan, trafik sesak, sesat jalan dan sebagainya, tetapi Allah datangkan juga bantuan dan mempertemukan hati-hati kami.

Disebalik berlangsungnya liqa ini, terlalu banyak yang kami kongsikan bersama.

Dari perihal kerjaya sebagai doktor sehinggalah ke perihal keluarga dan anak-anak.

Tidak mudah untuk saya dapatkan masa berkongsi dengan mereka yang sudah banyak pengalaman bernilai. Sudah tentu, perkongsian itu bukan perbualan kosong belaka, dan bukan pula perbualan sambil mengisi perut semata-mata, malah ia menjadi perangsang untuk kita saling menguatkan saf ini dan tsabat di atas perjuangan jalan dakwah walau apa jua pun cubaan dan ujian yang menggugah.

Saya amat mengagumi sesetengah doktor kita yang sungguh sibuk dengan kerjaya tetapi masih mampu menabur masa untuk kerja dakwah dan amal islami. Mereka dapat istiqamah biarpun ada ketikanya mereka juga pernah melalui detik-detik hitam 'kejatuhan' dalam medan, namun atas semangat mereka bangkit dan tsabat. Alhamdulillah.

Bila saya melihat bagaimana dakwah dan tarbiah ini mengajar saya selama ini, inilah rupanya hakikat yang sebenar yang saya cari.

Selama mengikuti medan dakwah ini di bumi Rusia, dan sekembalinya saya ke bumi Malaysia, semangat yang ada untuk kerja dakwah tetap sama, malah peluang untuk menambahkan lagi sentiasa ada terbentang luas.

Saya tidak diajari sesuatu yang hanya membawa semangat ketika saya masih pelajar. Menjadi seorang yang kental dan kuat membawa obor dakwah hanya ketika di medan pelajar. Ramai yang sebegitu, dan mereka setelah pulang ke Malaysia, medan amal mereka hilang, kerana mereka sebenarnya terikat pada suasana yang 'kondusif' untuk berdakwah di tempat belajar.

Bila mereka keluar ke bumi nyata, sudah mula membina kerjaya dan masa depan, komitmen mereka semakin lari dan akhirnya tiada apa lagi yang tinggal dalam diri mereka, melainkan 'status-status lama di facebook'.

Semoga Allah istiqamah dan tsabatkan hati-hati ini, mengekalkan kita didalam jamaah. Insha-Allah.



Dr.Hazreen, Dr.Rafeeq dan Dr.Afiq

0 komentar:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 Kelana Cinta Al-Farouq | TNB