Dunia baru

09 February 2013 0 komentar
Baru selesai on-call. Dapat melelapkan mata sekitar beberapa jam. Alhamdulillah.

Sistem on-call di Jabatan Surgeri PPUM ini lain daripada yang lain. Terutama kelainannya dari segi on-call di  A&E (Accident & Emergency). Houseman di Jabatan Surgeri yang dijadualkan untuk on-call di A&E perlu datang pada jam 8 pagi sehinggalah 8 pagi keesokkan harinya (24 jam!). Berbanding on-call di wad Surgeri atau OT (Operation Theatre), mereka harus datang pada jam 5 petang hingga 8 pagi keesokkannya sahaja.

Jika di A&E, memang peluang untuk meluruskan kaki sebentar hanya angan-angan belaka, sebab terlalu banyak kes dan referal untuk Surgical di A&E yang tidak putus-putus datang.

Selalunya selepas oncall di A&E memang akan terlalu letih. Balik rumah dan tidur. Post-call syndrome.

Kini saya sudah hampir 3 bulan di Jabatan Surgeri. Ramai mengatakan inilah posting surgical ini adalah posting yang paling sibuk dan sukar berbanding posting yang lain.

Ada benarnya kenyataan itu, tapi saya tidak dapat buat perbandingan tepat memandangkan ini posting pertama saya, dan masih belum melalui 5 posting yang lain untuk melengkapkan tempoh pengajian doktor siswazah ini.

Sebenarnya, apa yang ingin saya kongsikan disini tentang pengalaman saya  pertama kali menjejakkan kaki ke dunia kerjaya perubatan ini.

Memang sukar untuk saya jelaskan pengalaman dan perasaan yang saya rasakan, namun boleh saya katakan 2 minggu pertama saya menjadi HO memang saat paling sukar saya lalui. Kesukaran itu pada banyak perkara, termasuklah soal adaptation kepada sistem hospital di Malaysia, budaya dan cara kerja orang-orang di Malaysia, komunikasi terutama tentang istilah-istilah perubatan yang tidak pernah saya pelajari sebelum ini, sistem kerja yang membebankan dan cukup meletihkan dan banyak lagi.

Dalam menghadapi kesukaran-kesukaran ini, saya harus pula untuk catch-up banyak perkara dan maklumat dalam masa yang pantas, jika tidak saya akan ketinggalan dan tanggungjawab serta beban akan semakin dan semakin bertambah. Dan saya akan dikira sebagai tidak kompeten dalam melaksanakan fungsi sebagai doktor.

Sebab itu, masa 2 minggu pertama saya tagging, atau 'orientasi' adalah masa yang amat kritikal untuk dihadapi. Masa itulah kita harus adapt dan secepat mungkin fahami tugas dan peranan yang perlu di buat. Yang paling penting, jangan takut untuk bertanya, meskipun soalan kita itu akan di pandang sinis oleh orang lain. Bertanyalah, kemudian faham dan hadam betul-betul. Jangan buat kesilapan jika kita sudah pernah di beritahu sebelum ini, jika tidak itu kelemahan kita kerana kita tidak catch-up dan adapt sesuatu dengan cepat. 

Untuk permulaan itu, janganlah mudah rasa putus asa, memang sukar untuk mula-mula menyesuaikan diri dalam bidang ini, terutama graduan perubatan yang bukan dari universiti tempatan.

Walau apa pun cabarannya, yang penting perlu ada pengukuhan rohani pada Allah, iaitu pengharapan pada bantuan Allah untuk setiap masalah dan kelemahan kita. 

Beberapa perkara yang saya lakukan untuk membantu saya adapt sesuatu dengan cepat:

1. Untuk permulaan, tinggallah di hostel atau kuaters hospital. Kerana lebih dekat dan mudah untuk ke tempat kerja sebab kita perlu datang paling awal jam 6 pagi dan pulang hampir 11 malam ketika waktu tagging. Jika menetap di kuaters atau hostel, kita boleh stay di wad dan masa itu boleh dimanfaatkan dengan memahami sistem wad, menelaah  dan fahami kes-kes pesakit dengan lebih detail, dan boleh tagging dengan HO oncall malam itu juga untuk belajar dan adapt dengan lebih pantas.

2. Perlu sentiasa ada buku nota saiz poket. Apa jua term, istilah, perkara-perkara yang tidak kita fahami, terus tulis dalam buku nota. Saya akan tulis segenap perkara termasuklah perkara-perkara yang mudah dan simple, kemudian sebelum tidur, saya akan baca semula dan mana yang tidak difahami terus search dan baca dari internet.

3. Telefon pintar amat membantu, terutama untuk kita pelajari dan dapatkan maklumat dan makna sesuatu term dengan segera. Saya akan terus search di internet dan baca. Kita akan dapat lebih faham dan ingat dengan cara seperti itu bila kita sendiri yang usaha untuk mencari jawapan.

4. Masa dan prioriti. Perkara ini amat penting. Kita tiada masa yang banyak, untuk kita duduk lama-lama belek-belek nota pesakit. Perlu ada prioriti dalam kerja kita, untuk kita tahu apa prioriti kita, perlu fahami dulu kerja kita macam mana. 

5. Selalu praktiskan diri untuk 'present case' ketika ward round. Saya pada mulanya memang janggal teramat, kerana tidak pernah present case terutama di hadapan MO dan pakar-pakar. Tapi bila kita selalu beranikan diri, present case akan buat kita lebih mudah fahami tentang pesakit, dan melatih kita untuk lebih yakin dalam kerjaya kita sebagai doktor. Saya selalu present case sendirian dahulu sebelum bermula ward round.

6. Jangan mudah bagi alasan dan dalih jika kita tidak dapat buat sesuatu perkara. Misalnya, ambil darah atau set branula. Pastikan kita cuba dahulu sebaiknya, belajar teknik dan cara yang sebaiknya daripada senior terutama ketika masa tagging. Kerana  kalau dididik sifat beralasan dan berdalih ini, akan lama-kelamaan membawa kepada  sifat malas dan masalah attitude pada kita. Ramai HO di sini yang di extend jangka waktu di Jabatan Surgeri disebabkan masalah perangai mereka.

7. Paling utama, jangan lupa letakkan harapan dan pertolongan pada Allah. Setiap kali pulang ke rumah atau bilik, saya berdoa, malah ada kalanya saya menangis bila mengenangkan betapa besar ujian yang harus saya hadapi. Dalam keadaan saya yang berjauhan daripada isteri dan lama tidak bersua dengan anak kecil saya, bertambah berat rasanya hati. Namun, kekuatan itu hanya datang dari Allah. Yakin dan berdoalah padaNya. Mulakan setiap hari kita dengan niat yang baru dan ikhlas, dalam perjalanan ke wad bacalah zikir mathurat dalam hati. Hubungan kita dengan Allah amat penting, kerana ia menjaga mental, jasmani dan aspek diri kita yang lain sebaiknya.

8. Jangan tinggal usrah. Perjumpaan mingguan usrah perlu berjalan seperti biasa. Disitu kita dapat berkongsi macam-macam masalah kita, bermuayasyah dan berqodoya tentang pelbagai isu. Memang benar, ia dapat menghilangkan penat kita. Kekal dan tsabat bersama jalan dakwah dan tarbiah. InshaAllah

9. Jangan lupa pada keluarga, terutama mak ayah kita. Minta mereka selalu doakan kita. Berbuallah dengan mereka selalu. Kalau berjauhan, hubungi mereka. Ikatan ibu ayah ini luar biasa juga, dapat menjadi penawar yang amat mujarab. InshaAllah.


Perjalanan jauh menuntut pengorbanan dan kesabaran...



0 komentar:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 Kelana Cinta Al-Farouq | TNB