Hidup Kembali

02 February 2013 0 komentar
Hampir 2 bulan menyepi. Tiada apa-apa khabar yang hendak dibicarakan dengan menulis disini.

Sebenarnya ada, tapi tiada daya dan kesempatan yang kuat untuk melakukannya.

Terlalu pantas masa berlalu, kini sudah hampir 2 bulan saya ceburi bidang pekerjaan yang mencabar ini.

Memang betul kata orang lain, sebelum mula bergelumang dalam kerjaya kedoktoran ini, perlukan kekuatan yang luar biasa dalaman dan luaran. Perlukan rohani dan bekalan peribadi yang cukup utuh agar tidak mudah lari dan  kecundang dari tanggungjawab insaniah sebagai daie.

Ada orang yang berpesan sebegitu hanyalah untuk menjaga kesinambungan hidup sebagai doktor, tapi ada pula yang berpesan dan mengingatkan kita kerana pentingnya memelihara kesinambungan dakwah dan tarbiah untuk diri kita, agar tidak luntur dimamah bencana kerjaya seperti ini.

Kita lihat pada mana peranan kepentingan yang kita dahulukan dan utamakan.

Ditempat kerja yang sungguh dipenuhi pelbagai golongan manusia dan pelbagai golongan yang berbeza perangainya. Dari staff nurse dan rakan sekerja sehinggalah ke peringkat orang-orang atasan, specialist dsb, masing-masing memiliki perangai yang tersendiri.

Kita akan bergelumang dalam kehidupan dalam komuniti yang bercampur aduk dan disitulah cabarannya untuk bawa diri kita sebetulnya. Di situlah faktor kita mudah hilang dan dibawa lari pengaruh-pengaruh yang sungguh bisanya mampu melumpuhkan kekuatan dakwah dan tarbiah yang pernah kita bina kukuh sebelum ini.

Ditambah lagi tanggungjawab kita yang bertambah, bukan lagi sebagai seorang pelajar yang hanya tahu datang ke kelas dan kuliah-kuliah. Kerjaya telah meragut segenap waktu kita yang dahulunya berkisah pada kerja dakwah dan tarbiah setiap masa.

Inilah cabaran dan ujian. Allah datangkan pada kita untuk merungkai sejauh mana tarbiah diri itu menghuni jiwa dan hati serta niat dalam diri.

Seharus itulah, dari awal lagi kita harus betulkan niat, jangan letakkan kerja dakwah dan tarbiah kita sebagai picisan dan semata-mata untuk dilakukan kerana ada banyak masa yang tidak mahu dibazirkan. Mereka yang hebat sekalipun dalam arena kencang dakwah ini akan kecundang jua akhirnya jika hati dan perasaan mereka tidak pada jalan perjuangan ini sepenuhnya.

Berbaiah lah pada diri, perbetulkan niat, lihat kehidupan yang lebih indah di Syurga dan kejarlah ia dan tinggalkan tangan-tangan yang menggapai untuk merosakkan impian sebuah kejayaan ummah.

Pusat Perubatan Universiti Malaya



0 komentar:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 Kelana Cinta Al-Farouq | TNB