Fitnah Agama

06 November 2012 0 komentar

Rasulullah s.a.w tidak muncul secara tiba-tiba ditengah-tengah kejahilan di tanah Arab ketika itu. 

Rasulullah juga bukanlah orang dagang, yang singgah ke tanah Arab untuk berdagang dan membawa sinar Islam. 

Tapi semua yang berlaku adalah sebaliknya. Rasulullah itu sudah pun menjadi ‘role model’ dalam masyarakatnya meskipun sebelum diutus menjadi Rasul Allah. Siapa yang tidak kenal Muhammad bin Abdullah? Dialah al-Amin bukan?

Itulah ciri teristimewa seorang da’ie, menjadi perhatian dan pemerhatian orang disekelilingnya. 

Da’ie yang membawa obor agama adalah ‘public figure’ yang menjadi tatapan umum masyarakat semua dan bukan terhad kepada mad’u bawaannya sahaja.

Bukanlah maksud da’ie ini perlu berasa bangga apabila diperhati umum, apatah lagi mengejar riya’, sum’ah, ‘ujub. Tapi kata kunci apa yang ingin saya tegaskan adalah betapa seorang da’ie itu perlu menjaga ciri luaran dirinya selain dalaman, dan betapa sesungguhnya seorang da’ie itu perlu tahu bahawa dakwah bukan semata-mata pada kata-kata yang membawa jiwa, bukan pada hebatnya kita mengikat hati-hati menjadi rumpun ukhuwwah, tapi yang penting juga dakwah ‘senyap’ melalui mata dan perhatian umum masyarakat kepada kita.

Maka ingin saya berkongsi isi-isi tambahan dakwah, yang mana saya tekankan pada peranan ‘fitnah'. Fitnah itu ‘benda-benda yang mengganggu perjalanan kita’, yang sekiranya menular boleh membawa kita lari dari jalan sebenar, yang meletakkan ruang hidup bagi syaitan dalam diri. Fitnah itu bukan sahaja perlu dihindari, tapi perlu dielak daripada mencetuskannya.

Cinta itu suatu fitrah, tidak dinafikan. Tetapi sewajarnya kita berusaha mengelak fitrah itu berubah menjadi fitnah. Inilah yang berlaku apabila peraturan yang ditetapkan ke atas sesuatu fitrah itu tidak diberi penjagaan serius.

Oleh itu mari berjaga-jaga dengan tingkahlaku kita. Elakkan fitnah bermaharajalela, yang berlaku apabila anda mengetepikan peraturan tersebut apabila bercinta. 

Jaga batasan pergaulan. Elakkan pergaulan bebas terutama yang tiada keperluannya, juga elakkan mengabaikan perkara wajib asas seperti solat. Apatah lagi dating, gayutan telefon, surat cinta, gambar bersama, genyitan mata dan sentuh-menyentuh, yang akan menjemput syaitan sebagai pihak ketiga.

Lebih-lebih lagi jika anda dipandang sebagai orang agama. Setiap tingkah laku anda sentiasa diperhatikan, gahnya seolah-olah anda pengeluar hukum hakam. 

Berbalas message, berjalan bersama, menyimpan gambar; walaupun anda boleh pusingkan hukumnya kepada boleh, semuanya bakal menjadi sumber fitnah kepada anda andai tidak dijaga. 

Jangan sampai anda mengotorkan imej-imej Islam tanpa sengaja, apatah lagi dengan sengaja (hawa nafsu). Imej khitbah (tunang) jangan diketengahkan ke mata masyarakat sebagai couple lagha tapi “islamik”. Batasannya tetap anda kerana anda masih belum suami isteri.

"Ada di kalangan manusia yang menjadi pembuka kebaikan dan pengunci kejahatan, dan ada yang (sebaliknya) menjadi pembuka kejahatan dan pengunci kebaikan. Maka berbahagialah mereka yang dijadikan oleh Allah sebagai pembuka kebaikan dan celakalah bagi mereka yang dijadikan oleh Allah sebagai pembuka kejahatan."[HR Ibn Majah]


Kita ingin menghindari fitnah, bukan menjemputnya datang, sebagaimana tindakan Rasulullah yang khuatir prasangka buruk sahabat Ansar apabila baginda dilihat berjalan berdua-duaan pada waktu malam dengan isterinya, Safiyyah. [HR Muslim].

Kita cegah, bukan sudah berlaku baru ingin merawat!



0 komentar:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 Kelana Cinta Al-Farouq | TNB