Al-Maidah 49 & 50 : Bencana Jahiliyah

07 November 2012 0 komentar
Surah Al-Maidah antara surah yang amat saya suka bila membaca dan memahami tafsirnya. Kita mulakan dengan membaca dan memahami maksud ayat-ayat ini:


"Dan hendaklah engkau memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka. Dan berwaspadalah terhadap mereka, jangan sampai mereka memperdayakan engkau terhadap sebahagian apa yang diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari apa yang diturunkan Allah), maka ketahuilah sesungguhnya Allah berkehendak menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sungguh, kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik." (Al-Maidah:49)


"Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki? (Hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang yang meyakini (agamanya)?" (Al-Maidah:50)


Dalam keadaan dunia ketika ini, semakin kuat cabarannya untuk membawa kesyumulan Islam agar meresapi kembali jiwa umat ini.

Muncul terlalu banyak pihak yang mahu menjadi hero atau heroin, samaada yang menentang pengembalian Islam ke dalam jiwa mereka sendiri, atau yang menghalang Islam kembali ke dalam jiwa orang lain. Dalam erti kata lain, menentang seruan atau dakwah.

Terlalu ramai orang Islam yang mahu menjadi cikgu jari telunjuk, yang tahu mengarah menggunakan mulut dalam bicara kemunafikan, sedangkan Allah hanya melihat kepada amal, amal dan amal, yang pada mereka itu entah ke mana amalnya.

Ini berlaku sejak Islam berkembang dahulu, kini dan di kemudian hari. 

Dalam surah al Maidah ini, terlalu banyak ayat Allah s.w.t menjelaskan rahsia disebalik golongan ini dan pedoman terhadap Rasulullah s.a.w dan umat Islam yang beriman pada agamanya untuk menghadapi mereka.


Dalam Tafsir Fil Zilalil Quran, dijelaskan bahawa ayat Al Maidah:49 diatas adalah peringatan yang cukup keras tentang fitnah yang wajib diwaspadai.

Fitnah apa? Yaitu fitnah golongan yang mengangkat keinginan atau hawa nafsu mereka sebagai hukum dan meninggalkan syariat dan hukum Allah.

'Hendaklah kamu memutuskan' - yakni bererti perlu meletakkan batas atau margin yang cukup jelas antara syariat Islam dan hukum Jahiliyah. Tidak boleh ada percampuran antara keduanya. Jika yang dipilih itu Islam, maka laksanakanlah ia sepenuhnya tanpa ada lagi karat-karat jahiliyah, dan jika masih bergelumang dengan jahiliyah, beerti ia bukan Islam yang sebenarnya.

Golongan yang menginginkan sesuatu menurut hawa nafsu mereka, sentiasa menggunakan ayat-ayat Allah untuk mengaburi yang lain dan menegakkan pendirian mereka. Kerana itu peringatan ini Allah nyatakan dengan cukup jelas dan tegas, berwaspadalah dengan fitnah-fitnah mereka! Seperti ayat diatas 'Jangan sampai mereka memperdayakan engkau dengan sebahagian apa yang diturunkan Allah kepadamu'.

Jika mereka tetap berpaling dari hukum Allah dan meneruskan kejahilan itu, maka engkau tidak akan bertanggungjawab atas tindakan mereka itu. 

Jangan sesekali tindakan mereka itu membuatkan engkau berpaling juga dan teruslah berpegang teguh dan utuh dengan syariat dan hukum Allah.

Kerana apa? Kerana mereka berpaling dan menyimpang sebab Allah mahu menghinakan mereka atas sebahagian dosa-dosa yang mereka lakukan.

Dan sudah menjadi tabiat manusia, 'Dan sungguh, kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik', kerana itu akan ada mereka yang menyimpang dan keluar dari syariat Allah. Namun kerana perwatakan mereka ini, tiadalah dosa untuk engkau, dan tiadalah dosa bagi syariat.

Ayat berikutnya (al Maidah:50) adalah persoalan Allah s.w.t kepada pendukung jahiliyah. Apakah mereka memilih hukum Allah ataupun hukum jahiliyah?

Tidak ada perantara antara keduanya!

Samaada hukum Allah yang ditegakkan, syariat Allah yang meresapi dalam jiwa manusia, manhaj Allah yang memandu kehidupan mereka atau hukum jahiliyah, syariat hawa nafsu atau sistem kebudakan yang mereka kehendaki?

Inilah persimpangan jalan. Allah s.w.t menghentikan mereka disini, dan sesudah itu terpulang pada mereka mahu memilih yang mana.

Kemudian apabila mereka tetap memilih jahiliyah dalam diri, Allah s.w.t dengan nada murka bertanyakan kepada mereka '(Hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang yang meyakini (agamanya)?'

Ya, siapakah gerangan yang lebih baik hukumnya daripada hukum Allah?!

Apakah mereka berani mengatakan bahwa mereka lebih mengetahui daripada Pencipta manusia?

Apakah lagi alasan-alasan mereka untuk memenangkan jahiliyah mereka berbanding ayat-ayat yang Allah turunkan ini?

Apakah sebabnya orang yang mengakui Islam untuk masih bergelumang dengan jahiliyah ini?

Kerana kondisi? Kerana masyarakat tidak menyukai? Kerana takut kepada musuh? 

Orang bukan Islam dapat sahaja mengatakan sesuatu tentang ini, tetapi bagaimana pula orang yang mengaku Islam yang mengatakan sesuatu tentang jahiliyah ini? Kemudian mereka masih tetap dalam bingkai Islam? Atau masih punyai sesuatu dari Islam?

Sesungguhnya ini persimpangan jalan! Tidak ada percampuran untuk memilihnya.

Dan tidak ada gunanya berdebat dan berbantahan dengan perkara yang cukup jelas ini.

Mungkin Islam, dan mungkin jahiliyah. Mungkin iman dan mungkin kufur. Mungkin hukum Allah dan mungkin hukum jahiliyah.

Persoalan ini harus jelas dalam diri seorang muslim. Jika tidak jelas maka dia belum fahami Islam dalam dirinya.

Kalau hati seorang muslim tidak mantap dalam ketetapan antara Islam dan jahiliyah, maka timbangannya tidak akan lurus, manhajnya tidak akan jelas, dan hatinya tidak punyai daya pembeza antara haq dan batil. Ia tidak akan dapat melangkahkan kaki di jalan hidup yang benar. 



0 komentar:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 Kelana Cinta Al-Farouq | TNB