Seringkali terlihat secawan kopi hitam pekat di atas meja, memanggil-manggil dengan tarian wap asapnya yang seharum dan semerbak yang sukar ditafsirkan minda.
Mungkin kehidupanku di bumi Russia sedikit sebanyak membuka lembaran minda dan pengetahuan yang serba bertambah tentang kopi. Dimana sahaja, masyarakat bumi Soviet itu tidak akan pernah berenggang dengan kopi dan teh. Setiap hari juga, tidak pernah jemu mendengar pelawaan orang-orang disana untuk minum kopi dan teh, apatahlagi suasana di luar yang sejuk membeku yang menambahkan lagi kelazatan pada setiap hirupan.
Kopi juga tidaklah begitu asing buat mereka yang memerlukan kekuatan tambahan untuk fokus dalam sesuatu kerja. Termasuklah pekerja mahupun pelajar. Kesan kopi ini berbeza untuk setiap individu. Tidak semestinya dengan minum kopi anda akan dapat berjaga lama, atau mungkin juga anda tidak akan dapat tidur malam dan mengantuk teruk keesokkan harinya.
Itulah rahsia kopi disebalik kenikmatan dan kelazatannya.
Setelah berkahwin, isteri saya sering menegur bila mana saya ingin minum kopi. Malah, pengambilan kopi saya telah dikawal dan diminimakan setiap hari. Ada benarnya tindakan itu. Dengan kopi, tiadalah erti mujahadah pada tarbiah diri.
Malah ada ketikanya, kita terlalu bergantung kepada kopi untuk belajar, usrah, daurah dan qiammulail sekalipun. Tanpa kopi kita akan lesu, longlai dan tidur seakan tiada lagi kehidupan. Dimanakah erti mujahadah kita?
Kita tidak akan dapat menilai setinggi mana tahap mujahadah atau kesungguhan kita andai setiap kesukaran kita dapatkan talian hayat.
'Wahai Ikhwan, perlengkapkanlah dirimu dengan tarbiyyah yang sahih dan pengalaman serta ujian yang terperinci. Ujilah para bakal pejuang dengan amal yang kuat dan banyak, yang tidak disukai oleh mereka, yang membebankan mereka dan pisahkanlah mereka dengan hawa nafsu dan kebiasaan mereka agar mereka tahu apa itu hakikat perjuangan di atas jalan ini...' - Imam Hasan Al-Banna
Kepayahan itu akan mengajar erti dan hakikat perjuangan sebenar. Mungkin untuk permulaan ia suatu yang amat sukar, namun disitu kita ada tarbiah yang membentuk ciri-ciri mujahadah yang kukuh.
Mujahadah itu adalah kesungguhan yang luar biasa, iaitu kesungguhan untuk menolak segala kebiasaan.
Jika setiap kesukaran kita tidak mampu membina mujahadah, kita tidak lain hanya menjadi golongan yang lemah, manja dan jauh dari tafsiran sebagai seorang pejuang dakwah.
Tentera-tentera dakwah perlu bina kekuatan semulajadi, bukan pada kepalsuan dan lakonan yang menjadi. Segar bugarnya kita berjuang dalam medan ini bukan kerana kopi, tetapi atas rasa semangat kendiri yang sentiasa membakar dan memanaskan jiwa yang sentiasa inginkan dakwah dan tarbiah.
Imam Hasan Al-Banna sekali lagi menyebut di dalam Risalah Ta'lim :
Jauhkan dari terlampau banyak minum kopi, teh dan lain-lainminuman penyegar, jangan minum minuman-minuman ini kecuali ketikadarurat. Janganlah sekali-kali merokok.
Inilah metod tarbiah kita yang sepatutnya. Jangan kita terlalu bergantung harap pada perkara lain, tapi binalah mujahadah pada paksi kekuatan peribadi.
0 komentar:
Post a Comment