Deenul Islam

10 October 2012 0 komentar

Apakah itu Islam? Soalan yang terlalu rutin untuk ditanya. Diulang dan diulang kembali, akhirnya berputar pada paksi persoalan yang sama. Tidak lain dan tidak bukan, jawapan yang sentiasa tersedia dalam kocek-kocek umat ini begitu ringkas dan mudah – iaitu 5 rukun Islam!. Jawapan ini boleh jadi benar, tetapi tidak tepat.

Sifirnya mudah, analoginya seperti seorang guru yang bertanya kepada anak muridnya tentang pelangi. Sudah tentu jawapannya berkisar kepada tujuh lapisan warnanya, walaupun pada hakikatnya warna-warna itu hanyalah spektrum yang terhasil melalui pembiasan satu warna cahaya sahaja!

Begitu juga umat Islam sekarang yang menjadi keliru terhadap agamanya sendiri. Sejak kecil kita dididik mempelajari pelbagai cabang ilmu agama seperti tauhid, ibadah dan akhlaq. Tetapi kita tidak pernah melihat komponen-komponen ini sebagai satu. Apakah yang satu itu?

Satu itu Deen

Ya, yang satu itulah Deen. Di dalam hadith kedua Matan Arbain an-Nawawiyah menyebut tentang Deen itu dengan cukup jelas. Hadith ini adalah tunjang teras kepada manusia untuk mengenali Islam sebagai Deen iaitu keseluruhan dan meliputi seluruh kehidupan. Manakala Deen itu sendiri meliputi Iman, Islam dan Ihsan.

Keganjilan umat hari ini berlaku apabila kita sendiri tidak melihat Deen itu secara keseluruhan. Tetapi memahami komponen-komponen Deen itu secara berasingan. Maka tidak peliklah jika ada golongan yang memandang bahawa Islam adalah sejenis aqidah yang diwarisi, amalan-amalan yang tradisi yang tidak diperlukan dan tidak boleh menjadi maju. Mereka menjadi jemu dengan Islam dan setiap perkara yang mempunyai hubungkait dengannya adalah kolot dan jumud belaka!

Ada di antara mereka yang memandang bahawa Islam hanya terbatas kepada berakhlak mulia, rohani yang bersih, memberi santapan falsafah kepada fikiran dan roh serta menjauhkan diri dari daki-daki material. Ada pula yang Islamnya hanya terhenti kepada perasaan takjub kepada makna-makna dan nama-nama.

Di antara manusia ada yang memandang bahawa Islam hanya terbatas pada ibadat-ibadat zahir sahaja. Jika dia menunaikannya atau melihat orang lain melaksanakannya, beliau berpuashati dan mengira bahawa dia telah sampai ke puncak Islam yang sebenarnya.

Sangkaan umat ini jauh meleset! Definisi Islam diputar belit sehingga Deen itu tidak lagi dilihat sebagai kehidupan yang menghidupkan, bahkan hanya menjadi agama antik yang diwarisi turun temurun. Barangan antik, mahal harganya tetapi malangnya tidak berguna.

Deen itu Keseluruhan!

Kita wajib beriman dengan Islam itu secara keseluruhan. Kita tidak boleh mengambil Islam itu pada sebahagiannya sahaja dan meninggalkan bahagian yang lain.

“Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesunguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”-Surah al-Baqarah: ayat 208.

Mengimani dan mempraktiskan Islam yang syumul itu adalah kewajiban. Islam itu seperti sahaja dalam lingkungan gelung bulatan. Kita hanya ada dua pilihan, sama ada masuk kedalamnya secara total atau keluar darinya iaitu mengikuti syaitan. Tiada jalan tengah antara kedua itu.

Kerana inilah kata kunci yang perlu kita fahami. Tuntutan mengamalkan Islam itu dalam segenap rentak kehidupan ini adalah suatu kewajiban.


Syumuliatul Islam dan Jahiliyah

Islam ini lahir sebagai cahaya petunjuk sepanjang jalan kepada manusia. Deen Islam ialah satu peraturan hidup yang luas, lengkap dan merangkumi semua ruang hidup. Ya, syumulnya Islam ini adalah untuk mengisi ruang-ruang kehidupan yang telah berkurun lamanya dihuni wabak jahiliyah. Melenyapkan wabak ini, seluruh bidang hidup kita haruslah berpandukan kepada Deen Allah swt. Andai kata jahiliyah itu tertebar dengan seluas-luasnya diatas muka bumi ini, itu bermaksud masih ada ruang-ruang kehidupan yang tidak diisi dengan sistem Islam yang syumul.

Hari ini umat semakin keliru. Islam dilihat mekar tetapi disirami baja-baja jahiliyah. Islam semakin jauh dari sistem kehidupan, bahkan hanya menjadi syiar ibadat semata-mata. Akhirnya agama ini menjadi suatu kebosanan, bagai tempias yang merimaskan. Astaghfirullah.


Aspirasi Ustaziatul Alam

Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang dikehendaki Allah s.w.t. Kita wajib memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh para sahabat Rasulullah s.a.w. Kita tidak boleh memahami Islam sebagaimana yang manusia atau kita sendiri mahu, tetapi sebagaimana tuntutan dan kehendak Allah s.w.t. 

Kita mahukan keaslian Islam ini dipelihara dan tidak dicampuradukkan dengan ajaran jahiliyah yang lain. Inilah aspirasi ustaziatul alam, yakni apabila Islam itu benar-benar menjadi Deen yang teragung yang mengisi setiap sudut peraturan alam ini!

Janganlah bermimpi sekalipun untuk Islam kembali mengecapi kegemilangan, jika Islam pada hari ini masih diasingkan daripada kehidupan. Hari ini umat Islam hanya memiliki ilmu yang pelbagai, namun dengan ilmu semata-mata tidak langsung menjamin kemenangan, melainkan ianya berlandaskan keimanan, kerana iman itu juga adalah komponen Deen Allah s.w.t selain Islam dan Ihsan.

Bila kita hanya memiliki ilmu-ilmu Islam tetapi ianya sebagai tin kosong belaka tanpa praktiknya dalam kehidupan ini, maka itulah indikasi tahap keimanan yang lemah dan ia bukanlah berpaksikan iman yang sebenar-benarnya.


Indahnya Islam yang Syumul!


Ayuh kita renungi dan berfikir sejenak. Lihatlah Islam itu sebagai Deen. Perhatikanlah di dalamnya ada sebuah manhaj kehidupan yang cukup sempurna dan teratur. Segala-galanya telah Allah rencanakan menerusi wahyuNya, semuanya telah Rasulullah s.a.w praktikkan dalam usianya. Indahnya Islam itu pada kesyumulannya. Bezanya Islam itu dari agama lain di atas muka bumi ini adalah pada manhajnya yang praktikal merentasi semua aspek kehidupan ini.

Tidak ada agama lain selengkap Islam, kerana inilah satu-satunya agama yang diredhai Allah s.w.t. Fkrah kita adalah fikrah Islam yang syumul. Deen Islam ini adalah deen yang terawal dan dijanjikan untuk kekal abadi sehingga ke hari Akhirat.  Jibril a.s yang telah mengajarkan kita tentang Islam, Iman dan Ihsan, kemudian mengakhirinya dengan hari Qiamat, adalah bukti bahwa Deen ini bukan sekadar cara hidup didunia, tetapi diletakkan matlamat yang lebih utama untuk kehidupan syumul menuju akhirat!

Bebaskanlah Islam yang ‘terkurung’ didalam masjid-masjid itu, agar ia dapat tertebar dengan seluas-luas tebaran diatas muka bumi ini dan itulah Islam yang sebenarnya, membawa cahaya rahmat ke seluruh alam.




0 komentar:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 Kelana Cinta Al-Farouq | TNB