Harga Sebuah Baitul Muslim

07 October 2012 0 komentar


Sungguh dramatis membicarakan perihal baitul muslim. Tidak lain ia menjadi isu hangat yang mengujakan dan membeliakkan mata-mata hati orang sekitar yang ingin tahu dan melaluinya sendiri.

Bahkan benar, daie itu bukan seperti sami-sami yang meluruhkan seluruh jiwa dan diri mereka kepada tuhan berhala yang mereka sembah sehingga tercatit larangan untuk membina keluarga sendiri iaitu dengan berkahwin. Kita lain, malah perkahwinan seorang lelaki dan wanita yang mengenali jalan dakwah dan tarbiah boleh membina asas kukuh untuk loncatan dakwah yang lebih momentumnya.

Baitul muslim sudah lebih dikenali bukan kepada sesetengah golongan tapi menerjah ke pemikiran masyarakat lain di sekitar ini. Tiada lagi rahsia tentang baitul muslim. Namun kebanyakan hanya mengertikan baitul muslim seperti perkahwinan islamik. Ya, islamik dari mula hingga tamat prosesnya.

Memang benar tetapi kurang tepat. Mereka yang bercinta sehingga berjumpa, beramah mesra, bergurau senda dan akhirnya berkahwin juga boleh mengisytiharkan perkahwinan mereka islamik kerana perbuatan-perbuatan ini boleh sahaja dilakukan seseorang yang berjanggut dan berkopiah bersama si tudung litup di luar sana. 

Tidak tepat mendefinisikan baitul muslim sebagai perkahwinan islamik semata-mata, tetapi ia sebenarnya sebuah perkahwinan yang menepati syariat sepenuhnya.

Belum cukup lagi dengan pengertian itu, baitul muslim itu juga bukan sekadar perkahwinan yang menepati syariat tetapi juga sebagai tingkatan untuk kesinambungan kerja dakwah kepada Allah s.w.t.

Definisi ini sudah cukup membezakan baitul muslim dengan perkahwinan biasa.

Mereka yang berkahwin untuk membina keluarga semata-mata dan memenuhi tuntutan fitrah nafsu manusia tidak sama dengan mereka yang berkahwin demi untuk kelangsungan dakwah yang mengimani maratib amal menuju ke puncak julangan Islam sebagai deen yang satu-satunya diredhai Allah agar berpasak teguh menyinari seluruh alam ini.

Lihatlah bagaimana dan dimana kedudukan baitul muslim. Ia bukan satu kegembiraan dan keseronokan yang mengujakan tetapi satu peranan dan tanggungjawab yang cukup besar untuk matlamat yang dicitakan.

Jangan membanggai baitul muslim dengan pesta berbulan madu yang berpanjangan kerana ironi jalan dakwah tidak pernah seperti itu. Adapun mereka yang berbaitul muslim adalah kader-kader dakwah tetapi akhirnya hanyut dan kelemasan dalam 'cinta' yang berpaling tadah. Cinta yang akhirnya terpesong dari jalan ini kepada  nafsu dan kepalsuan lain yang menggugah. Cinta yang dahulunya menyirami perjalanan dakwah dan tarbiah akhirnya kontang dimamah kelalaian dan kerehatan yang cukup indah itu.

Tidak mudah untuk kita melafazkan pengertian baitul muslim kerana harganya perlu dipelihara agar terus mahal dan tidak mudah dibeli nafsu syaitan yang sentiasa ingin merosakkannya.

Contohnya ada pada Rasulullah s.a.w dan Khadijah. Baitul muslim yang mereka bina tidak lain untuk memangkin kualiti dakwah dan menambah rangsangan iman dan cinta mereka kepada Allah s.w.t.

Jangan menjadi daie yang hanya merebut peluang berbaitul muslim untuk kononnya berbangga kerana memiliki pasangan yang hebat, apatahlagi kebanggaan kerana sudah melangkah ke tangga maratib baitul muslim meninggalkan yang lain.

Setinggi mana pun langkahan dan kedudukan kita pada tingkatan maratib amal, kita tidak boleh menolak tarbiah diri kita sebagai individu muslim. Pembinaan individu dan peribadi muslim dalam diri adalah proses berterusan malah menjadi peranan dan tanggungjawab yang paling asas diperingkat mana sekalipun kelangsungan dakwah ini.

Lihatlah pada pembinaan dan penjenamaan tarbiah individu masing-masing. Kiranya tarbiah diri ketika berkeluarga semakin luntur dan pudar untuk dibandingkan sebelumnya, maka terdapat cacat disitu. Ianya harus segera dimuhasabah dan diperbaiki kerana kelambatan hanya akan merencatkan segalanya.

Seharusnya baitul muslim yang dibina dapat mengukuhkan pembinaan peribadi muslim pasangan dan diri sendiri, saling mengingati dan memimpin serta menjadikan dakwah sebagai sumber cita-cita teratas dalam segenap isi rumah tangga duat.

Kita ingin melihat baitul muslim contoh terbina bukan kemelut yang tidak ada bezanya dengan masalah keruntuhan rumah tangga masyakarat sekarang yang semakin parah.

Kita ditarbiah dan disusun, maka itulah modal utama yang harus kita guna untuk membawa diri kita dan keluarga ke arah matlamat yang betul. Akhirnya kita melihat proses tarbiah ini berulang dan berulang sehinggalah ke suatu ketetapan yang Allah tetapkan kelak.




0 komentar:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 Kelana Cinta Al-Farouq | TNB