Di Atas Mimbar Syahadah

10 October 2012 0 komentar


Dalam kedinginan bayu musim sejuk di bumi salju Rusia, akhirnya aku akur untuk menjejaki sebuah kembara merentasi jalan-jalan salju, yang semakin membongkah membentuk ketulan ais di sepanjang perjalanan ku ini.

Sejuknya hari itu tidak mungkin dapat aku lupakan. Ia sejarah aku. Malah disebalik sejarah itu, ada iltizam yang menemani jalan yang aku lalui sehingga ke hari dan saat ini.

Ya, orang yang sudah berkahwin harus mengingati hari perkahwinan mereka. Kerna itulah sumber cinta mereka kian berputik, agar cinta mereka sentiasa segar terasa, agar cinta mereka sentiasa marak membara!

Begitu juga pada hari itu. Ianya hari dimana aku ber’kahwin’ dengan dakwah ini. Itulah hari dimana aku melihat jalan syahadah itu dengan sejelas-jelasnya.  Dan di hari itu aku merasakan, betapa aku sedang memikul sebidang amanah yang cukup berat, amanah yang aku sentiasa lupa dan abaikan selama ini, selama aku mengakui sebagai seorang muslim. Astaghfirullah.

Harus diketika itu aku menyedari hakikat sebenarnya. Syahadah yang aku lafazkan selama ini hanya pura-pura belaka. Syahadah yang seakan menjadi tiket pakai buang untuk membuktikan aku seorang muslim semata-mata. Baru aku sedari, kotak amal ku seakan-akan tidak pernah terisi sedikit pun. Hanya mencari bukti pada ibadah seharianku dan ikrar kepercayaanku kepada Allah, malaikat, rasul dan lain-lain? Itu belum cukup untuk aku menjawab persoalan Allah di Mahsyar nanti, sedangkan ada kegentaran yang lebih besar seharusnya dibawa menerusi jalan kehidupan ini.

Inilah jalanku

Ya, pengisian hari itu cukup berat untuk aku terima. Amat berat. Seingat aku, tidak pernah fikiran ini sekusut hari itu. Memikirkan dimana harus aku  buktikan kebenaran syahadah ini. Dimana? Bagaimana?

Sungguh, aku tidak akan mampu bersendirian mencapai misi syahadah ini. Kerna itu dihadapan ku terbentang jalan-jalan yang harus aku pilih untuk bersamanya. Ya, inilah jalanku, yang aku yakini dengan sungguh mungkin! Inilah jalanku bersama jamaah yang aku yakini mampu menjulang syahadah yang suci, mampu menebarkan ia kepada seluruh umat manusia di hadapan ini.

Setelah jalan ini aku imani dan amanahnya aku turuti, seharusnya umat di sekelilingku ini memiliki hak untuk mendapatkan syahadah yang benar ini.

Keluarga

Firman Allah swt:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu…” (Surah at-Tahrim:6)

Keluarga itu sendiri menjadi fokus pertama dalam misi syahadah ini.

Memang benar, ahli keluarga adalah mereka yang paling cepat melihat perubahan diri kita, kerana kita membesar bersama mereka. Aku lazimkan diri untuk memberi, walaupun selama ini aku hanya meminta dan menerima. Aku bicarakan kata-kata yang sopan diungkapi dan madah bicara yang penuh etika menghormati mereka. Bukan sekadar untuk mereka melihat keperibadian anaknya yang sudah mampu berdikari dan mengurus peribadi, tetapi yang lebih penting, untuk membina kepercayaan mereka bahwa anaknya mampu untuk membawa mereka juga dekat kepada perubahan ini, dekat kepada Allah, dan mengakui kebenaran syahadah ini.

Biarpun pada setiap pendekatan ku kepada ahli keluarga, ada yang merasakan aku telah ‘tertelan’ racun extremisasi, kelak ditakuti menjadi pengebom berani mati! Tapi, apakah yang lebih mengistiqamahkan usaha ini melainkan sabar yang baik. Sedangkan Rasulullah s.a.w juga ditentang hina ahli keluarga sendiri sehingga terputus tali persaudaraan, inikan pula insan kerdil seperti kita!

Sahabat

Bila bersama ikhwah di dalam usrah kami, memang aku rasakan nikmat ukhuwah itu yang sungguh osem! Tapi bila aku berada di medan luar, di situlah juga aku perlu bawakan Islam yang benar ini kepada sekalian sahabat dan rakan yang lain. Dari rakan sekelas, rakan serumah, rakan sekuliah hinggalah geng bola dan ragbi, mereka ada hak yang perlu dipenuhi. Memang janggal pada mulanya untuk aku bawakan perubahan kata-kata dan perbuatanku kepada mereka.
Kita berkawan kerana apa? Selalunya kerana kita berkongsi minat yang sama. Kita suka main bola, rakan kita juga adalah pemain bola. Kalau kita ingin membawa mereka kepada Islam, maka perlulah kita membina dan berkongsi minat ini dengan mereka.

Ada sahabat handai yang menerima perubahan ini dengan baik, malah mereka juga berubah ke arahnya. Tetapi ada jua yang keliru, berburuk sangka terhadap persahabatan ini. Itu semua pahit getir yang fitrah, yang harus ditempuhi.

Golongan bukan Islam

Bila peranan ini berkisar kepada golongan bukan Islam, mereka sewajarnya lebih perlu untuk disentuhi dengan kebenaran ini. Tetapi aku melihat umat Islam ini dalam kehambaran. Jika hanya seorang dua sahaja yang memegang syahadah ini sedangkan yang lain membelakanginya, sudah pasti pandangan orang bukan Islam terhadap Islam itu tidak akan berganjak ke mana-mana. Benarlah, bilakah masa kan siapnya binaan, kiranya ada yang membina sedang yang lain meruntuhkan. Namun, peranan kita tidak harus berhenti. Setiap kali bertemu di kuliah dan kelas-kelas harian, aku cuba sedaya termampu untuk memikat hati mereka dengan membina perilaku yang baik yang mencerminkan Islam. Tidak lupa mengundang mereka berkunjung ke rumah dan binalah ukhuwah yang sebaiknya dengan mereka. Pada hemat diriku, boleh jadi mereka yang bukan Islam ini lebih tahu menghargai ukhuwah dan persahabatan itu. Maka, andai mereka benar-benar mengetahui hakikat sebenar Islam ini, sudah pasti mereka boleh jadi jundi Allah yang lebih luar biasa daripada seorang muslim biasa!

Kerja ini tidak mudah

Rupanya kerja ini tidak mudah. Bukan sekadar memahami syahadah itu harus begitu dan begini, tapi jauh dari itu ia menuntut keikhlasan, tadhiyah dan istiqamah yang cukup tinggi pada praktiknya.

Jalan ini masih panjang dengan liku-liku dan ujian yang menyapanya. Ayuh, doakanlah kita agar sama-sama tsabat dan ikhlas. Masih banyak yang perlu kita laksanakan dalam tanggungjawab ini. Kerna kitalah umat pertengahan pilihan itu, yang menjadi saksi kepada perbuatan manusia, dan sungguh, Rasul pula menjadi saksi atas perbuatan kita. 



Itulah penyaksianku pada sebuah kebenaran. Itulah pengalamanku yang aku lalui hingga ke hari ini. Itulah revolusi pada syahadah yang telah kering pada mulut-mulut manusia yang hanya bisa berkata-kata. Ianya revolusi untuk menjulang kebenaran kepada seluruh umat manusia di alam semesta ini. Sehingga tiada yang terkecuali daripada mendapatnya. Sehingga tiada lagi fitnah dan agama itu hanyalah bagi Allah semata-mata.


0 komentar:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 Kelana Cinta Al-Farouq | TNB