Kalau cinta sudah terurai jadi laku,
cinta itu sempurna seperti pohon iman,
akarnya terhunjam dalam hati,
batangnya tegak dalam kata,
buahnya menjumbai dalam laku.
Suatu waktu, demikian Jabir r.a berkisah, seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w dan bertanya:
"Menurut engkau, jika aku melakukan solat yang wajib, puasa di bulan Ramadhan, aku halalkan yang halal, dan aku haramkan yang haram, dan tiada aku tambah lagi sesuatu ke atasnya, apakah akan aku ke Syurga?"
Rasulullah s.a.w menjawab : "Ya".
Hadith ini merupakan hadith ke 22 dalam di dalam Al-Arbain An-Nawawiyah, diriwayatkan oleh Imam Muslim. Menarik untuk dibicarakan disini, kerana lelaki yang datang menemui dan bertanya kepada Rasulullah tentang amalan paling asas dan minimal yang bisa membawanya ke Syurga. Solat yang wajib sahaja, puasa di bulan Ramadhan sahaja, menghalalkan yang halal, mengharamkan yang haram dan tiada tambahan lagi. Cukup sekadar itu. Dan Rasulullah mengiakan Syurga baginya.
Alangkah baiknya lagi kalau kita menyelak bicara tentang lelaki yang bertanya itu. Namanya Nu'man ibn Qauqal r.a. Syeikh Muhammad Tatay, penulis Idhaahu Ma'anil Khafiyah Fil Arbain An-Nawawiyah menukilkan pelbagai riwayat tentang Nu'man. Ternyata, amal soleh Nu'man tidak seperti pertanyaannya kepada Rasulullah saw. Sama sekali tidak minimal seperti itu. Nu'man seorang yang nyaris 'mewajibkan' amalan-amalan nafilah dalam dirinya, sentiasa memburu bermacam sunnah sang Rasul s.a.w, dan sentiasa komitmen dan semangat dalam bermacam kewajiban. Padahal Nu'man memiliki kekurangan fizikal, dia cacat.
Nu'man Ibn Qauqal juga mengikuti perang Badar, dan menemui syahidnya di Perang Uhud. Di hari Uhud itu dia berteriak : "Aku bersumpah kepadaMu ya Rabbi! Tidak akan tenggelam matahari itu sehingga ku gapai hijaunya Syurga dengan pincangku ini".
Setelah gugurnya Nu'man, Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesungguhnya Nu'man telah berprasangka kepada Allah dengan prasangka yang baik. Maka ia mendapati Allah seperti disangkanya. Sungguh telah kulihat dia bercengkerama di dalam hijaunya Syurga, dan kini dia tidak lagi pincang..."
Inilah jalan cinta Nu'man Ibn Qauqal. Jalan dimana wacana jauh lebih kecil daripada tindakan. Amal soleh yang lebih utama untuk membawa ke Syurga, bukan kata-kata yang hanya mampu mengalun bicara.
Inilah cinta sebenar seorang pejuang cinta terhadap Penciptanya.
0 komentar:
Post a Comment