Harinya telah tiba! Ini merupakan kali ketiga dalam hidupku melalui temuduga. Kali pertama ketika pemohonan ke asrama tingkatan 1 namun gagal, kali kedua ketika pemohonan untuk belajar perubatan di Russia dan ini kali ketiga untuk memohon jawatan sebagai seorang pegawai perubatan.
Sebagai persediaan, pastikan dokumen-dokumen penting disediakan. Sertakan salinan dan dokumen asalnya juga:
- Salinan kad pengenalan
- Salinan surat beranak
- Salinan sijil SPM
- Salinan Ijazah Perubatan dalam bahasa Inggeris
- Salinan transkripsi peperiksaan dalam bahasa Inggeris
- Salinan surat dekan universiti
- Salinan Surat Pendaftaran Sementara daripada MMC
- 1 keping gambar terkini berukuran pasport
Semua salinan perlu disahkan benar seperti dokumen asal. Jangan lupa dokumen asal perlu dibawa bersama.
Curriculum Vitae (CV) tidak diperlukan untuk penuntut luar negara. Hanya pelajar perubatan Malaysia yang dikehendaki menyerahkan CV.
Memang temuduga sesuatu yang amat mendebarkan. Tetapi kali ini bukan seorang diri, seramai 5-6 orang pemohon akan masuk untuk ditemuduga sekali oleh 2 orang pegawai.
Datang seawal yang boleh kerana anda dikehendaki mengisi sehelai lagi borang maklumat diri dan menampalkan gambar padanya (sila bawa gam). Setelah menyerahkan borang dan dokumen-dokumen diatas kepada pegawai yang terlibat, anda perlu menunggu sehingga nama anda dipanggil masuk untuk ditemuduga.
Nama akan dipanggil mengikut turutan abjad. Saya merupakan orang yang puluhan menyerahkan borang, tapi akhirnya menjadi orang pertama yang dipanggil masuk bersama 5 orang lagi kerana nama saya bermula huruf A.
Apa jua sekalipun, jangan datang lewat. Mereka yang lewat akan dikumpulkan diakhir temuduga walaupun nama bermula huruf A.
Saya ditemuduga oleh seorang doktor wanita dan seorang pegawai KKM. Mereka sangat tegas dalam memerhatikan segenap dokumen yang dilampirkan, terutama sijil SPM. Terdapat banyak kes dimana pelajar yang memiliki keputusan SPM yang tidak melayakkannya untuk mengambil perubatan tetapi tetap dapat belajar dan memiliki ijazah perubatan kerana saraan keluarga sendiri. Malah yang lebih dahsyat, terdapat pelajar yang mengambil sastera dalam SPM tetapi berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.
Kerana pelbagai isu dan lambakan doktor di Malaysia, pengambilan doktor selepas ini akan sangat tegas dan spesifik.
Temuduga yang saya lalui melibatkan pertanyaan mengenai perubatan, termasuklah pengurusan denggi dan penyakit berjangkit di Malaysia. Soalan-soalan lain yang diajukan termasuklah darah tinggi, kencing manis, jangkitan salur pernafasan dll.
Apa yang menariknya, kami dikehendaki menjawab dalam bahasa Melayu. Isunya, ramai doktor di hospital tidak tahu berbahasa Melayu.
Temuduga berakhir dengan pesanan dan nasihat daripada pegawai penemuduga. Kebiasaannya, tempoh panggilan kursus induksi akan dibuat selepas sebulan dari tarikh temuduga.
Ya, anda harus bersedia untuk temuduga. Endahkan ketepi kata-kata mereka yang meyakini setiap yang ditemuduga akan lulus. Mungkin ini berlaku sebelum ini, tetapi tidak lagi sekarang dan kemudian hari.
0 komentar:
Post a Comment