Kunci Kemenangan

10 October 2012 0 komentar

Teringat al-kisah di zaman sekolah. Bila musim exam sudah berbau batang hidungnya, maka macam-macamlah program motivasi dijaja, dijual situ sana sini bagai cendawan goreng yang makan sekali tak pernah puas hati. Paling kurang pun, mereka tidaklah  pengsan atau diserang sawan hanya sebab memikirkan exam!

Modus operandi pakar motivasi ini tidak banyak bezanya. Apa yang menariknya, lahir satu idea untuk menanam semangat ketenteraan dalam diri pelajar-pelajar yang mendengar. Ya, mereka diserapi falsafah untuk menjadikan exam itu sebagai medan perang, dan merekalah tentera-tentera yang akan berjuang!

‘Adik-adik! Senjata perang kalian adalah ilmu dan usaha berterusan tanpa putus asa! Panji yang kalian bawa bersama adalah doa dan tawakkal seadanya. Let’s go and do your best! Strive for straight A’s!!!’ – contoh bebelan pakar motivasi terkenal dunia. Boleh jadi sudah hilang suaranya sebab terlalu banyak menjerit situ sini sana!

Merumusnya mudah. Kalau kita ada matlamat yang hendak dicapai, kita perlukan tips pemangkin untuk terus terbang mencapainya.

Terbang macam mana? Gerenti punya terbang kali ni lebih pantas dari kelajuan supersaiya biasa!

Aduhai, ni baru nak berperang untuk exam, bukan lagi berperang betul! Bahkan dalam hidup kita ini sebenarnya setiap masa adalah peperangan, itulah namanya pertarungan abadi antara haq dan batil (shira’al abadi bainal haq wal bathil).

Yang jadi tenteranya bukan calang-calang orang. Orang yang betul-betul mahu berperang merobek segala kebatilan yang wujud. Kalau nak menang kenalah tahu caranya yang betul. 

Betul tak?

Apa tipsnya? Nak bertukar jadi hypersaiya luar biasa!  Baik. Disini program motivasi kita pula.


Adik-adik, jaga hubungan dengan Allah ye?!

Orang kata, menang kalah adat pertandingan. Tapi kita kata, menang kalah hanya Allah yang menentukan. Betul tak? Janganlah syok sendiri je nak menang, beringatlah untuk kita tunaikan hak terhadap Allah, kemudian Allah akan tunaikan kemenangan buat kita pula, inshaAllah.

Ini belum masuk kisah perang Badar yang popular tu, bila Allah sendiri dah janjikan kepada Nabi s.a.w dan umat Islam akan pertolongan dan kemenangan, tapi mereka tidak pernah berhenti bersengkang mata menadah tangan penuh harapan mengharap bantuan daripada Allah s.w.t.

Aduhai, dah gerenti menang tapi tak pernah jauh hubungan mereka dari Allah, malah lagi dekat. Kalau kita tu, dah goyang kaki kot! Astaghfirullah. Apalah sangat yang ada pada kekuatan manusia, akhirnya kita perlu kembali kepada Allah semula.

Peliharalah qiam kita, tilawah, tadabur, zikrullah, puasa, sedekah dan amali lainnya. Inilah senjata kemenangan kita. Inilah revolusi hypersaiya yang sebenarnya! JOM! Bertukar sekarang!

“Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan Rabbmu dengan sungguh-sungguh lalu diperkenankan-Nya bagimu, ‘Sesungguhnya Aku mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang secara bergerombolan’.” (Surah Al-Anfal: 9)


Adik-adik, hati kena tenang. Pada ketenangan ada kemenangan!

Siang malam pagi petang pergi gym nak buat otot berketul-ketul. Perlu ke?! Kekuatan yang terbaik adalah hati yang tenang. Ketenangan itulah benih keyakinan untuk kemenangan.  Dari mana ketenangan itu datang?

“(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya mengingati Allah hati menjadi tenang” (Surah Ar-Ra’d:28)

Hubungan dengan Allah itu yang akan memberi ketenangan hati (qulubun mustaqirrah). Tak usah gentar, cemas, menggeletar seluruh tubuh menghadapi musuh kebatilan, kalau kita menjadi jundi yang benar-benar beriman akan adanya pertolongan Allah yang dijanjikan.

Kalau dalam exam kita menggigil, otak pun beku tak dapat nak fikir. Begitulah juga dalam dakwah dan pertarungan ini. Rasa cemas itu hanya akan membuahkan keraguan, yang menyebabkan kita sendiri tidak meyakini pertolongan Allah. Macam mana nak menang? Hadapilah ia dengan hati yang tenang! Nak jadi hypersaiya kenelah kool, tak boleh gelabah!  

Betul tak?

Cop! Terlupa satu perkara yang lagi penting!


Adik-adik, jauhilah dosa dan maksiat! Ianya racun, bukan ubat!

Jangan haraplah nak dapat pertolongan Allah, atau ketenangan itu sendiri, kalau hidup kita ini sentiasa bergaul sebati dengan dosa dan maksiat. Allah tak suka pelaku maksiat! Malah mereka duduk jauh dari Allah s.w.t.

Memang terbukti! Punca utama kejatuhan Islam dulu kala adalah kerana maksiat dan dosa. Tak perlu berbangga dengan jumlah umat Islam yang membeliakkan mata, kalau maksiat, dosa dan jahiliyah tertampal pada tubuh hati mereka sini sana. Kata-kata Umar Al-Khattab r.a kepada tenteranya yang akan ke Parsi:

“Yang aku takutkan bukan jumlah dan besarnya pasukan Parsi yang akan kalian hadapi, akan tetapi yang sangat aku risaukan adalah kemaksiatan yang kalian lakukan. Kerana hal itu yang akan menjauhkan kurnia dan pertolongan Allah s.w.t pada kita. Oleh sebab itu, takutlah kalian pada Allah s.a.w dan awasilah setiap pasukan kalian daripada perbuatan maksiat.”

Manusia memang tak boleh lari dari dosa. Nak tak nak, seciput dosa tu pasti ada. Kalau kita nak mewarisi tugas semulia ini untuk memerangi kebatilan, tundukkanlah wajahmu memohon keampunan dari Tuhan.

“Tidak ada doa yang mereka ucapkan selain; ‘Ya Allah Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami. Teguhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami daripada orang-orang kafir’.” (Surah Ali ‘Imran: 147)

Jadi, inilah bekalan yang kita perlu makan dan hadam sebaiknya. Bergusti dengan kebatilan perlukan teknik dan cara. Apa yang penting, diri sendiri itulah titik perubahannya. Baik. Suara dah nak hilang, sekarang masa untuk kita melaksanakannya. Jangan banyak soal! JOM!



0 komentar:

Post a Comment

 

©Copyright 2011 Kelana Cinta Al-Farouq | TNB